ISSUES OF HISTORIOGRAPHY: ESSAYS IN HONOR OF DR. R. SUNTHARALINGAM
ebook

ISSUES OF HISTORIOGRAPHY: ESSAYS IN HONOR OF DR. R. SUNTHARALINGAM

Editorial:
PENERBIT USM
Materia
Linguistica, Critica literaria, Discurso y otros
ISBN:
978-983-861-759-8
Páginas:
299
Formato:
Epublication content package
Derechos eBook:
Copiar/pegar: Prohibido.
Imprimible: Prohibido.
DRM
Si

Buku ini, yang merupakan satu koleksi 12 esei, ialah penghargaan kepada

Profesor Madya Dr. R. Suntharalingam sempena persaraannya pada Oktober

1991 yang disumbangkan oleh rakan-rakan dari Bahagian Sejarah, Pusat

Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia dan semasa beliau

menuntut di Universiti Malaya di Singapura serta bekas-bekas pelajarnya. Buku

ini dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu pensejarahan dan nasionalisme, dua

bidang yang sangat diminati oleh Dr. Suntharalingam dengan tumpuan kepada

sejarah Malaysia. Sejarah Malaysia pula bukanlah satu bidang yang asing kepada

Dr. Suntharalingam. Di samping mengendalikan penyeliaan latihan ilmiah

(semuanya dalam bidang sejarah Malaysia) untuk pelajar tahun akhir, beliau juga

kerap merujuk kepada sejarah Malaysia ketika mengendalikan kursus-kursus

yang berkaitan dengan pensejarahan. Malah bagi seorang pakar sejarah India,

pengetahuannya tentang sejarah Malaysia amat mengkagumkan.

Bab pertama merupakan perbincangan Cheah Boon Kheng tentang feudalisme

Melayu. Dengan menggariskan ciri-ciri feudalisme yang terdapat dalam sejarah

Eropah Barat, beliau membincangkan dengan panjang lebar feudalisme Melayu

di zaman prapenjajahan. Lebih menarik lagi beliau mengajukan persoalan apakah

feudalisme Melayu itu satu ciptaan orang Inggeris atau merupakan satu hakikat

yang benar-benar wujud. Di dalam bab berikutnya, Mohamad Isa Othman

memberikan perhatian kepada sumber sejarah Kedah khususnya Al-Tarikh

Salasilah Negeri Kedah yang diterbitkan buat pertama kalinya pada tahun 1928

dan ditulis oleh Muhammad Hassan bin Muhammad Arshad (Tok Kerani Rahsia

al-marhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukaram Syah). Menurut Mohamad Isa, apa

juga kelemahannya sumber ini tetap penting bagi mengkaji sejarah Kedah Darul

Aman.

Di dalam bab ketiga, K. Anbalakan membincangkan objektiviti di dalam

sejarah, yang menurutnya bukan merupakan satu impian, satu perkara yang

semestinya boleh menarik perhatian setiap penuntut sejarah. Sementara itu Qasim

Ahmad pula membincangkan persoalan pokok dalam ilmu sejarah seperti sumber

(termasuk juga bukti), pengesahan fakta, pentafsiran dan objektiviti. Lebih

menarik lagi perbincangan ini dibuat dengan merujuk kepada pendapat beberapa

orang ahli sejarah termasuk Dr. Suntharalingam.

Satu aliran baru dalam ilmu sejarah, aliran Pasca-Modenisme, disentuh

dengan panjang lebar oleh Tan Liok Ee di dalam bab lima. Perbincangan

menarik ini tentunya berguna kepada para pelajar yang mengikuti kursus Teori

dan Kaedah, satu kursus yang pernah dikendalikan oleh Dr. Suntharalingam.

Dengan merujuk kepada beberapa aspek teori ini, Tan Liok Ee menyoal apakah

Pasca-Modenisme membawa satu haluan baru sejarah yang menyegarkan atau

sebaliknya menyahstabilkan ilmu sejarah. Di dalam bab yang berikutnya, Tan

Kim Hong membincangkan falsafah dan pendekatan Ssu-ma Ch ien, seorang

sejarawan ulung China tradisional terhadap penulisan sejarah sezaman (wangsa). Keobjektifan karya agung sejarawan Cina ini yang berjudul Shih Chi juga diuji

dan seterusnya Tan Kim Hong membuat kesimpulan bahawa karya ini merupakan

satu karya sejarah yang objektif dan sekaligus menaikkan mutu pensejarahan

China tradisional.

Esei Mahani Musa pula membincangkan satu dokumen menarik berkenaan

sejarah sosial Pulau Pinang yang merupakan buku catatan harian (diari) Shaikh

Omar Basheer, seorang tokoh Melayu Pulau Pinang pada abad ke-19. Antara

lainnya, diari ini menyentuh kegiatan agama dan perdagangan Shaikh Omar dan

juga penglibatan orang Melayu dalam kongsi gelap Bendera Putih dan Bendera

Merah. Sumbangan penting Paul Kratoska, walaupun ditulis dalam bahasa

Inggeris, merupakan satu tinjauan ringkas berkenaan sumber di dalam bahasa

Inggeris, yang dikeluarkan oleh kerajaan Inggeris dan sebelumnya Syarikat Hindia

Timur, berkaitan sejarah Malaysia. Walaupun sumber-sumber ini dalam bentuk

asalnya disimpan di London (seperti di Public Record Office dan India Office

Library), kebanyakannya boleh didapati dalam bentuk mikrofilem di perpustakaan

di Malaysia dan Singapura. Tinjauan seperti ini semestinya amat berguna kepada

penuntut dan juga pengkaji sejarah Malaysia.

Bahagian kedua yang berkisar kepada nasionalisme dimulakan dengan

perbincangan Abdul Rahman Ismail berkenaan kemunculan nasionalisme

Melayu. Perbincangan yang menarik ini dibuat berdasarkan kepada akhbar serta

majalah Melayu yang telah diterbitkan sekitar penghujung abad ke-19 hingga

separuh pertama abad ke-20. Abdul Rahman membuat kesimpulan bahawa

nasionalisme Melayu sudah pun muncul sebelum tahun 1930-an, sekaligus

menolak pandangan William Roff yang cukup berpengaruh sehingga hari ini.

Sementara itu Abu Talib Ahmad pula, dengan merujuk kepada sumber Inggeris

dan Jepun, membincangkan dasar serta tindakan kerajaan penjajah, di London

dan di Simla (markas kerajaan buangan Burma di antara Mei 1942-Oktober

1945), terhadap isu pensubahatan dengan Jepun serta kesetiaan kepada Inggeris

yang ditunjukkan oleh tokoh-tokoh tempatan seperti Aung San, Dr. Ba Maw,

U Ba U dan Sir Paw Tun.

Kemunculan persatuan "sosial" India sejak awal abad ke-20 merupakan fokus

perbincangan Khoo Kay Kim di dalam bab sebelas. Kesimpulan yang dibuat oleh

beliau berkenaan persatuan ini yang merupakan tabir bagi pemimpin India semasa

"berpolitik" lantas mencadangkan perlunya disemak semula maksud "persatuan

politik" dalam konteks sejarah Malaysia merupakan satu cadangan yang menarik.

Di dalam bab yang akhir, dengan merujuk kepada sumber lisan di antaranya,

Ismail Md. Isa menumpukan perhatiannya kepada sejarah tempatan dengan

merujuk kepada "penubuhan" Pekan Cina di Alor Setar pada awal abad ke-19.

Pekan Cina merupakan satu kawasan penempatan orang Cina yang dikelilingi

oleh kawasan kediaman orang Melayu terutamanya petani.

Berbagai-bagai pihak telah memberikan sumbangan bagi menjayakan

penerbitan buku ini. Pertama, terima kasih diucapkan kepada Universiti Sains

Malaysia dan Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan di atas bantuan dan

sokongan untuk menerbitkan buku ini. Sokongan Jawatankuasa Penerbitan Pusat

Pengajian Ilmu Kemanusiaan dan Jawatankuasa Penerbitan Universiti Sains

Malaysia untuk menerbitkan buku ini diucapkan terima kasih. Terima kasih juga

diberikan kepada Y. Bhg. Datuk Profesor Sharom Ahmat di atas sumbangan

kewangan yang dihulurkan. Kami juga mendapat kerjasama serta berbagaibagai

sokongan daripada ahli-ahli Bahagian Sejarah dan tanpa sokongan ini

buku tersebut ini tidak mungkin terhasil. Kepada individu berikut: Puan Goon

Phaik Khuen, Cik Maheswari, Puan Rohaya, Cik Ong Chun Ee dan Cik Normani

Din (dari Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan) dan Puan Rosni Habib (dari

Perpustakaan) diucapkan terima kasih kerana menguruskan hal-hal penaipan dan

sebagainya. Kepada penilai yang telah memberikan ulasan yang sangat bernas

diucapkan terima kasih walaupun tidak semua cadangan beliau dapat dipenuhi

dengan sempurna.